7 Artis Popular Yang Disangka Dari Malaysia, Tapi Sebenarnya Berasal Dari Singapura

Saban hari, ada sahaja nama baru muncul di persada seni tanah air, sama ada dalam dunia lakonan atau muzik. Selain artis tempatan, industri hiburan kita turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti berbakat besar daripada negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura yang sanggup berhijrah dan mencuba nasib di Malaysia.

Berikut kami senaraikan enam selebriti dari kota Singa yang datang ke Malaysia demi mengembang bakat dan karier masing-masing. Check it out!

1) Aaron Aziz


Raut wajah pelakon drama Tuan Anas Mikael dan Isteri Tuan Ihsan yang dilakonkan oleh Aaron Aziz cukup membuatkan ramai gadis tidak tidur lena.

Mengimbas kembali sejarah awal pembabitannya, pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz memulakan kerjayanya sebagai pelakon sejak 1990 di Singapura sebelum dilamar pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima pada 2003.

Namanya mula meniti di bibir peminat apabila drama lakonannya iaitu Emil Emilda menjadi fenomena di TV3 pada 2008. Sejak itu, bakat lakonan Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 dan 2013 itu mula berkembang hinggalah sekarang.

Tahukah anda, sebelum terjun ke dunia hiburan sebagai pelakon, Aaron Aziz pernah bekerja sebagai jurujual kereta dan pengurus restoran.

2) Hisyam Hamid


Figura ini tidak perlu diperkenalkan lagi, sebut sahaja namanya pasti ramai yang membayangkan lakonannya melalui drama Abang Bomba I Love You dan Isteri VS Tunang.

Ayah kepada dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah (9 tahun) dan Hayde (7 tahun) itu mengorak karier lakonannya di Malaysia sejak September 2013.

“Alhamdulillah, di Malaysia saya dijaga baik oleh penerbit, pengarah dan juga pelakon gandingan saya. Mereka yakin dengan kebolehan saya, bahkan buka pintu rezeki saya serta beri saya banyak peluang mencuba pelbagai watak mencabar yang mampu ‘melekat’ di hati penonton.” – beritaharian.sg

3) Adi Putra


Mohamed Hadi Putera Halim atau nama pentasnya Adi Putra memulakan kerjayanya sebagai anak seni di Singapura sebelum berhijrah ke Malaysia sekitar tahun 2003.

Biarpun dengan kehadiran lambakan pelakon baharu yang jauh lebih muda dan kacak, bintang filem KL Gangter dan Aku Terima Nikahnya ini nyata tidak mampu digugat dan berada di kelasnya yang tersendiri sebagai pelakon papan atas.

Selain Anugerah Artis Sensasi di Anugerah Seri Temasek 2012, figura berbadan sasa itu turut dinobatkan sebagai Artis Lelaki Anggun Bergaya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Anugerah Artis Sensasi di Anugerah Melodi 2013 dan Selebriti Lelaki Paling Seksi di Anugerah Stail EH! 2014.

4) Aliff Aziz


“Sayang sayang sayang, kau dah berpunya, tertutup sudah bagiku kesempatan” pastinya bait-bait lagu Sayang Sayang dendangan Aliff Aziz itu sudah sinonim dalam kalangan peminat industri muzik satu ketika dulu.

Menerusi lagu berkenaan, nama Aliff Aziz mula meledak bukan sahaja Singapura malahan di Malaysia.

Selain Sayang Sayang, Kalau Cinta (berduet dengan Joanna), Jangan Ganggu Pacakku, Keajaiban cinta (duet dengan Adira) dan Tak Ada Cinta Sepertimu (Berduet dengan Siti Nordiana) merupakan lagu-lagu popularnya.

Abang kepada penyanyi tinggi lampai, Aisyah Aziz ini turut melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan. Antara drama-drama lakonannya seperti Meh, Sandar Pada Aku!, Tiara, dan Antara Kita.

5) Aisyah Aziz


Siapa yang tidak kenal dengan Aisyah Aziz. Tidak sahaja memiliki rupa paras yang cantik, bakat nyanyiannya juga dilihat cukup unik dan tersendiri.

Aisyah atau nama sebenarnya Nur Aishah Aziz mula dikenali menerusi program Akademi Fantasia (AF) 2013.

Antara lagu-lagu popularnya seperti Pilihan Sejati, Tanda Tanya, dan Mimpi. Selain menyanyi, Aisyah turut menjinak-jinakkan diri dalam pementasan teater.

Sepanjang bergelar anak seni, Aisyah pernah dinobatkan Kolaborasi Terbaik (Lagu) di Anugerah Planet Muzik (APM) 2014.

“Hidup jauh daripada ibu bapa walaupun saya punya abang di sini, saya tahu tidak setiap masa saya perlu bergantung harap kepada mereka. Oleh sebab itu, saya belajar hidup berdikari walau susah atau senang laluannya untuk saya. Sebenarnya bukan mudah untuk saya kerana saya tak pernah berenggang dengan keluarga. Tetapi sejak menetap di sini, saya perlu kentalkan jiwa, kuatkan semangat dan ajar diri sendiri untuk menjadi lebih kuat setiap hari.” – Utusan Online

6) Atikah Suhaime


Siapa sangka keputusan untuk berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan bakat membuahkan hasil buat anak kelahiran Tempines, Singapura ini.

Sebelum bergelar pelakon, graduan Diploma Komunikasi Media di Politeknik Singapura ini pernah berkerja sebagai eksekutif pengiklanan.

“Saya ditanya kenapa berani datang ke Malaysia demi mencari rezeki dan jawapan saya, keberanian itu diperoleh daripada restu ibu dan bapa saya yang akan mendoakan kesejahteraan saya setiap hari. Masih saya ingat, ketika awal-awal saya di Kuala Lumpur, saya menangis setiap hari apabila ibu saya pulang ke Singapura.” – Kosmo

7) Hannah Delisha


Sejak membintangi drama berantai popular berjudul Mencintaimu Mr Photographer tidak lama dulu, nama Hannah Delisha semakin mekar mewangi di persada seni hiburan Malaysia. Meskipun baru setahun jagung, anak kelahiran Kota Singa ini dilihat sebagai pelapis baharu yang mampu bersinar dan pergi jauh sebagai anak wayang.

Selain Mencintaimu Mr Photographer, figura cun melecun ini turut menjayakan beberapa drama dan telemovie seperti Spaghetti Kuah Kacang, 7 Hari Suria, Kathy Gerenti, Kemelut dan Farhana.

Untuk info, gadis berusia 21 tahun ini juga berbakat dalam bidang seni suara dan pernah menganggotai kumpulan nyanyian iaitu Delisha sebelum bergerak solo. Malah, pemilik nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch ini turut dinobatkan sebagai Personaliti Wanita Paling Popular di Pesta Perdana 14 di Singapura.