Pegawai JPJ Dalang ‘Lesen Terbang’ Tumpas.Pemilik ‘Lesen Terbang’ Diarah Serah Dalam Tempoh Sebulan.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke melalui satu sidang media sebentar tadi berkata semua pemandu yang memiliki ‘lesen terbang’ diberi tempoh selama sebulan untuk menyerahkan lesen berkenaan kembali kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

”Selepas sebulan, jika anda gagal untuk mengembalikan lesen terbang, kami akan buru anda dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan memalsukan maklumat lesen dan boleh dihukum penjara 1 tahun atau denda RM 5 ribu,” katanya.

Kenyataan berkenaan dibuat susulan penahanan beberapa orang pegawai dan anggota JPJ yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa bagi mengeluarkan lesen memandu tanpa mengikut prosedur-prosedur pengeluaran lesen yang sah.

Lesen terbang merujuk kepada mana-mana individu yang mendapatkan lesen memandu Malaysia tanpa perlu mengikuti kelas memandu yang diadakan di mana-mana pusat memandu di seluruh negara.

Katanya lagi, berdasarkan siasatan yang dijalankan selama dua bulan sebelum ini dengan kerjasama SPRM dan polis, pihaknya berjaya membongkar dan menumpaskan satu sindiket yang menyediakan lesen terbang. Anthony menyifatkan sindiket berkenaan sebagai satu sindiket yang besar.

Sindiket ini selain melibatkan beberapa orang pegawai penguatkuasa JPJ di beberapa buah negeri, turut dikenal pasti terlibat adalah pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain.

”Tangkapan sudah dibuat minggu lepas dan ada diantara mereka telah ditahan reman beberapa hari. Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak sama ada PDRM mahupun SPRM dalam membanteras gejala yang tidak bermoral ini,” katanya.

Sehingga kini, seramai 12 orang pegawai dan anggota JPJ termasuklah seorang berpangkat Timbalan Pengarah Gred 44 serta dua orang Penolong Pegawai Penguatkuasa telahpun ditahan. Tangkapan-tangkapan dibuat di negeri Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Dianggarkan seramai 14 ribu orang didapati telah memiliki lesen terbang ini dengan kebanyakkan berstatus warganegara dan segelintir warga asing, terutamanya daripada China.

Anthony turut menjelaskan antara modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah segala buktiran maklumat peribadi pembeli akan diuruskan oleh anggota JPJ yang terlibat dengan menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara walaupun pemohon tidak pernah bekerja ataupun berkunjung ke luar negara.

”Ada yang kita semak dia kata dia ada lesen memandu luar negara padahal orang itu passport pun tak pernah ada, maksudnya tidak pernah ke luar negara. Bagaimana orang itu boleh ada lesen memandu di luar negara?,” katanya lagi.

Anthony berkata, melalui tindakan tidak bertanggungjawab sindiket ini, bukan sahaja kerajaan telah kehilangan sumber pendapatan, malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan disebabkan pemilik-pemilik lesen terbang adalah individu yang tidak layak untuk memandu kerana tidak mengikuti kelas pemanduan.

Sindiket Lesen Memandu Terbang Tumpas

PUTRAJAYA – Sebanyak 14,000 pemilik lesen memandu terbang diberikan tempoh sebulan untuk tampil dan menyerahkan kembali lesen tersebut kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, data dan rekod pemilik lesen tersebut sudah dikenal pasti dan jika mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan jika sabit kesalahan boleh dihukum minima RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Selama ini kita hanya mengambil tindakan terhadap sindiket yang terlibat dalam kes ini sahaja tetapi kali ini kita ada peruntukan bawah undang-undang untuk ambil tindakan terhadap pemilik lesen terbang ini juga,” katanya pada sidang akhbar berhubung perkara tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony mengesahkan seramai 12 orang pegawai dan anggota JPJ telah tahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 4 September lalu kerana disyaki terlibat dengan sindiket tersebut.

Tangkapan tersebut dibuat melibatkan kakitangan JPJ yang sedang berkhidmat di negeri Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, modus operandi sindiket tersebut ialah dengan memproses maklumat pemohon dengan menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara namun pemohon tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak pernah memiliki lesen memandu luar negara.

“Kita dapati pengeluaran lesen terbang yang dikeluarkan dengan bayaran sebanyak RM2,800 hingga RM3,500,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan supaya kesemua pegawai dan anggota yang ditahan pihak SPRM supaya digantung kerja dengan serta-merta.

Antara langkah lain yang turut diambil ialah kelulusan penukaran lesen antarabangsa secara automatik hanya dibenarkan di JPJ negeri sahaja dan tidak lagi dibenarkan dibuat di JPJ cawangan.

“Kita juga akan perhalusi lagi kaedah penukaran lesen ini dan akan mempertimbangkan kaedah pengesahan lesen memandu asing,” jelas beliau. – KL ONLINE

Video penuh :

Jika Anda Sukakan Artikel ini, Sila Kongsikan untuk Manfaat bersama