‘Kita memang jauh, terpisah Laut Cina Selatan, namun…’- PJJ selepas nikah, lelaki ini kongsi pengalaman

Perhubungan jarak jauh (PJJ) antara suami isteri sememangnya amat mencabar, masakan tidak suami jauh di Borneo, isteri pula di Utara tanah air. Perasaan rindu ditanggung dalam tempoh perhubungan jarak jauh, segala rindu itu terlerai apabila berjumpa kembali.

Begitulah yang dialami oleh seorang cikgu Sofuan Saadon yang berkongsi luahan perasaannya menjalani PJJ bersama isteri. Dia mengajar di Sarawak, manakala isterinya pula bekerja di Perak.

Luahan perasaannya itu dikongsi di laman Facebooknya.

Bagi pasangan yang PJJ (Perhubungan Jarak Jauh), inilah saat yang paling sukar. Perpisahan sementara. Demi diri, pasangan, keluarga dan kerjaya.

Masih jelas dalam ingatan aku ketika pertama kali aku balik ke Sarawak tak lama selepas berkahwin. Isteri yang menghantar aku ke stesen bas sebelum aku ke KLIA2.

Aku tahu isteri sedih dan berat nak lepaskan aku tapi kami tiada pilihan. Bini nampak kuat waktu itu. Dia cuba tahan air mata dari jatuh.

“Jangan risau.. Nanti cuti abang balik. Bukan selamanya di sana,” pujuk aku buat pertama kalinya.

Isteri mengangguk perlahan. Aku renung mata isteri dalam-dalam. Sinar mata yang penuh pengharapan.

Isteri berhenti di tepi jalan

Rupa-rupanya selepas hantar aku dan bergerak tinggalkan Terminal Aman Jaya itu, isteri berhenti di tepi jalan dan menangis semahu-mahunya.

Itulah perpisahan sementara kami selepas sah menjadi suami isteri. Isteri tak dapat kawal perasannya. Dia lepaskan segalanya pada ketika itu. Apabila dia kembali tenang, barulah dia teruskan pemanduan ke rumah sewanya.

Aku perasan, dari hari ke hari, isteri seakan sudah reda dengan pemergian aku untuk mendidik anak bangsa. Dia nampak akur melepaskan aku pergi.

Namun, situasi kali ini agak berbeza

Hampir sebulan aku dengannya dan sama seperti kali pertama dahulu, dia seakan tak mahu lepaskan aku pergi. Mahu tidak mahu, aku terpaksa mengulang ayat-ayat yang biasa aku katakannya dalam dua tahun ini.

“Abang pergi bukan untuk seronok-seronok. Cari nafkah untuk keluarga kita.. “

“Kita memang jauh, berlainan tanah. Tapi setiap hari kita boleh dengar suara. Sayang tahu abang buat apa..”

“Sekarang ni masa cepat. Nanti cuti abang balik lagi..”

Ya Tuhan, tolong jagakan dia untukku.

Pastinya hanya mereka yang menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) sahaja yang memahami situasi ini. Sokongan daripada orang sekeliling serta kepercayaan antara satu sama lain itu amat penting kerana PJJ itu amat indah bagi mereka yang menghargainya.

Sumber: Facebook Sofuan Saadon