Video Viral ‘Kau Samseng Mana?’

Sejak semalam viral dan heboh di laman sosial tentang penyebaran sebuah rakaman video yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang dipercayai seorang anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) telah memukul seorang remaja lelaki.

Menerusi rakaman video berkenaan yang berdurasi selama 45 saat itu jelas menunjukkan anggota polis berkenaan yang lengkap dengan pakaian seragam mengarahkan lelaki yang sedang diperiksanya itu supaya bangun sebelum beliau dilihat memukul kepala lelaki terbabit.

Jelas kedengaran anggota polis tersebut mengatakan ‘kau samseng mana?’ sambil menendang lelaki berkenaan yang kelihatan ketakutan. Malahan polis tersebut dilihat terus memukul mangsa serta menarik rambut lelaki terbabit dan kemudiannya menolak lelaki itu.

Walaupun mangsa kedengaran meminta maaf berkali-kali di atas kesalahannya, anggota polis tersebut seperti tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu dan terus memukulnya.

Melalui perbualan dan permohonan maaf daripada lelaki itu, dia berkemungkinan adalah warga tempatan. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah jenis kesalahan yang telah dilakukannya.

Walau bagaimanapun, di akhir rakaman video berkenaan, anggota berkenaan dilaporkan telah memberi arahan kepada individu yang bertindak merakamkan kejadian itu supaya terus memadamkan rakamannya itu.

Rata-rata netizen yang menonton rakaman ini didapati mengecam tindakan anggota polis tersebut yang tidak sepatutnya terus memukul mangsa sedangkan lelaki itu telah berkali-kali memohon maaf.

Malahan ada netizen mengatakan anggota tersebut tidak sepatutnya bertindak sedemikian, ini kerana beliau telah pun mencemarkan nama baik Polis DiRaja Malaysia.

Apa sekalipun, biarlah pihak berkuasa polis yang membuat siasatan terperinci serta dapat menyelesaikan kes ini dengan seadilnya terutama kepada lelaki tersebut yang menjadi mangsa keadaan.