“Gambar tular ltu tidak benar!” – Lelaki dituduh tak bertolak ansur terhadap wanita hamil pertahan diri

PETALING JAYA: Berang kerana dituduh sengaja enggan memberikan tempat duduk kepada penumpang hamil di dalam LRT, salah seorang individu yang didakwa bertindak sedemikan tampil menjelaskan situasi sebenar pada hari kejadian.

Individu tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad Firdaus berkata, dia dan beberapa penumpang lain tidak menyedari kehadiran wanita hamil itu.

“Waktu tu saya naik LRT dari KL Sentral menujuk ke Glenmarie. Sejujurnya saya tidak sedar kehadiran wanita hamil itu memandangkan tren penuh dan ramai orang keluar masuk.

“Kalau saya perasaan kehadirannya dari awal sudah tentu saya akan beri tempat duduk saya. Takkan setiap stesen kita kena tengok setiap individu yang keluar masuk tren,” katanya kepada mStar Online.

Menurut penuntut di sebuah universiti awam di ibu negara itu, dia dan beberapa penumpang lain menawarkan tempat duduk masing-masing selepas seorang individu menyedari kehadiran ibu hamil itu.

“Ada orang tegur, weh ada wanita hamil tengah berdiri. Kami pun terus cakap “duduk” kepada wanita itu,” katanya.

Namun Muhammad Firdaus kesal dengan tindakan seorang gadis yang merakam gambar menunjukkan dirinya dan penumpang lain seolah-olah berkeras enggan memberikan tempat duduk kepada ibu hamil itu.

“Apa yang berlaku dalam gambar ditularkan itu tidak benar. Bukan salah semua orang dalam gambar itu tapi salah perempuan yang ambil gambar tersebut kerana dia macam ada niat yang tidak baik.

“Gambar itu menampakkan kami tidak bertolak ansur terhadap wanita hamil itu, sedangkan wanita itu sudah diberi tempat duduk selepas kami menyedari kehadirannya,” kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Muhammad Firdaus turut memberi penjelasan berhubung insiden tersebut di Twitternya.

Jelasnya lagi, dia tidak menduga gadis tersebut akan memuat naik gambar yang diambil di Twitter sejurus selepas insiden pada Khamis lalu.

“Saya tak sangka dia akan muat naik gambar itu di Twitter. Saya dapat tahu mengenai gambar tersebut sehari kemudian selepas dimaklumkan rakan-rakan.

“Lagipun saya tak aktif di Twitter. Selepas insiden itu, saya aktif semula di Twitter dan beri penjelasan kepada orang ramai mengenai dakwaan tersebut,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, gambar yang ditularkan itu turut memberi kesan buruk kepada dirinya.

“Semua kenalan mesej beritahu saya tak patut buat macam tu. Malah keluarga turut menegur saya selepas terlihat gambar tersebut.

“Namun sebaik diberitahu perkara sebenar, mereka suruh saya bersabar. Saya kesal kerana gambar itu beri impak tidak baik kepada diri saya,” katanya.

Tambah Muhammad Firdaus, dia meminta gadis yang menggunakan akaun Twitter @atmanasiman untuk memohon maaf di atas perbuatannya yang mengelirukan orang ramai.

“Saya mesej dia dekat Twitter tanya kenapa dia buat begitu selepas dia tahu keadaan sebenar. Dia hanya beritahu dia sekadar mahu berkongsi dengan pengikutnya tapi tak sangka jadi viral pula.

“Jadi saya mahu dia minta maaf secara terbuka kepada semua yang terlibat dalam gambar tersebut kerana tindakannya itu telah memalukan saya dan penumpang lain,” katanya.

Gambar tersebut turut mendapat perhatian Nurul Izzah.

Gambar yang dimuatnaik gadis yang menggunakan akaun Twitter @atmanasiman pada 29 November lalu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Malahan, ia turut menarik perhatian Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menggesa rakyat Malaysia supaya menjadi lebih sensitif dan peka kepada keadaan orang di sekeliling.

Muhammad Firdaus berkata dia turut memberi respons kepada Nurul Izzah berhubung perkara itu di Twitter.

“Saya sudah jelaskan perkara sebenar kepada YB Nurul Izzah. Dia pun berterima kasih kepada saya kerana melakukan perkara yang sewajarnya,” kata pemuda itu.